Friday, 13 April 2012

Bahasa dan Gender: Sebuah Kajian Sosiolinguistik

1.0 PENDAHULUAN

Bahasa merupakan satu sistem yang digunapakai sebagai alat perhubungan dalam lingkungan satu kelompok manusia (Kamus Dewan, 2007). Penggunaan bahasa dapat menggambarkan kecenderungan masyarakat penuturnya. Oleh yang demikian, untuk menjelaskan bahasa haruslah melibatkan aspek-aspek sosial masyarakat tersebut seperti strata sosial, umur, lingkungan dan lain-lain bergantung kepada penggunaannya. Salah satu ciri yang berkaitan dengan penggunaan bahasa ialah faktor gender.

Gender merujuk kepada perbezaan karakter lelaki dan perempuan berdasarkan kepada konstruksi sosial, budaya, status dan peranannya dalam masyarakat. Namun, terdapat banyak perbezaan dalam penggunaan bahasa yang berkaitan dengan gender. Dalam kaitan bahasa, kehidupan sosio politik dan budaya jelas menunjukkan bahawa bahasa lelaki sememangnya berbeza dengan bahasa wanita. Perbezaan yang berlaku di antara lelaki dan wanita dapat dilihat melalui beberapa ciri antaranya ciri-ciri fizikal, suara, dan kemahiran bertutur.
1.1 PERMASALAHAN KAJIAN
Menurut ahli-ahli sosiolinguistik bahasa wanita berbeza dengan lelaki. Malah terdapatnya ketidakseimbangan bahasa antara lelaki dan wanita. Namun, adakah benar faktor gender itu memberi pengaruh dalam penggunaan bahasa. Selain itu, apakah penyebab berlakunya perbezaan bahasa di antara lelaki dan wanita. Perkara ini harus diteliti dengan lebih lanjut. Oleh itu, kajian ini adalah perlu untuk mendapatkan jawapan bagi persoalan tersebut.
2.0 BAHASA DAN GENDER
Perbezaan bahasa di antara kedua-dua lelaki dan wanita ini sememangnya wujud. Beberapa penelitian telah dilakukan oleh para ahli sarjana antaranya Trudgill, Jennifer Coates, Chambers dan sebagainya telah menyatakan bahawa bahasa wanita lebih lembut dan bersopan berbanding dengan bahasa atau pengucapan lelaki yang lebih tegas dan langsung. Perbezaan ini dapat dilihat melalui struktur bahasa dan kosa kata yang digunakan oleh lelaki dan wanita.

Menurut Wolfram (1967:76) kaum wanita memperlihatkan tahap kepekaan yang lebih terhadap ciri-ciri bahasa yang diberi penilaian yang tinggi daripada lelaki. Manakala menurut Labov (1990:205) kaum wanita secara konsisten lebih kerap menggunakan bentuk-bentuk bahasa yang lebih mendekati bentuk-bentuk yang berprestij, daripada yang berlaku di kalangan kaum lelaki. Malah menurut beliau dalam keadaan stratifikasi sosiolinguistik yang mantap, kaum lelaki lebih banyak menggunakan bentuk-bentuk tak baku, berbanding dengan kaum wanita.

Berdasarkan daripada kenyataan para ahli sarjana tersebut jelas memperlihatkan kepada kita bahawa kaum wanita itu mempunyai ciri-ciri nilai bahasa yang lebih tinggi berbanding lelaki. Perkara ini dapat kita lihat dalam pergaulan sehari-hari di antara lelaki dan wanita. Bahasa kaum wanita didapati lebih sopan daripada bahasa kaum lelaki yang lebih kerap menggunakan kata-kata kesat. Rata-rata kaum wanita lebih banyak menggunakan bahasa sopan seperti kata ‘maaf’, ‘terima kasih’ dan sebagainya. Namun berlainan pula apabila seseorang wanita itu berada dalam keadaan marah dan sikap tidak senang maka mereka akan lebih banyak menggunakan perkataan-perkataan yang bersifat eufemisme ‘berlapik” yang lebih sedap didengar kerana wanita ingin menjaga hati orang lain terutama dalam pertuturan berbanding lelaki.

Ketegasan dalam berbahasa bagi kaum lelaki itu mungkin disebabkan lelaki yang mempunyai sifat keberanian, kematangan, mempunyai kekuatan dan kegagahan berbanding wanita. Malah lelaki mempunyai peranan dan tanggungjawab yang berat berbanding wanita terutama tugas dalam mencari nafkah untuk menyara keluarga kerana tugas itu sememangnya dipikul oleh kaum lelaki. Walau bagaimanapun, berlainan dengan kaum lelaki yang bersifat wanita sering menggunakan variasi bahasa wanita dan sebaliknya wanita yang bersifat lelaki lebih gemar kepada variasi bahasa lelaki.
Melalui kajian sosiolinguistik yang dilakukan akan menunjukkan faktor-faktor yang kuat dalam mempengaruhi penggunaan bahasa antara lelaki dan wanita.
3.0 ANALISIS KAJIAN DAN DAPATAN KAJIAN
Dalam bahagian ini akan diterangkan analisis dan dapatan kajian berdasarkan soalan kaji selidik yang telah diedarkan kepada subjek kajian. Penghuraian analisis dan dapatan kajian disusun mengikut objektif kajian yang telah disebutkan sebelum ini.
3.1 PENGGUNAAN BAHASA
Daripada soal kajiselidik, 70 responden yang terdiri daripada lelaki dan wanita memberikan respon yang hampir sama iaitu 47% bagi responden lelaki dan wanita mengatakan ‘ya’ bahawa gender memberi pengaruh terhadap penggunaan bahasa dan 3% lagi mengatakan ‘tidak’.
3.1.1 PENGGUNAAN BAHASA LELAKI
Melalui kajian yang telah dilakukan, jelas kelihatan bahawa responden lelaki dan wanita sama-sama bersetuju iaitu 36% bahawa bahasa lelaki dipercayai lebih kasar daripada perempuan. Akan tetapi 14% responden lelaki dan 13% responden wanita tidak bersetuju. Dan cuma 1% sahaja yang tidak menjawab soalan tersebut.
Antara beberapa sebab responden lelaki dan wanita bersetuju bahawa bahasa lelaki lebih kasar dari wanita; lelaki adalah seorang yang gagah, berani, kuat dan tegas daripada wanita, lelaki adalah seorang yang berterus terang apabila menegur, memberitahu atau menyatakan sesuatu perkara dan lelaki mempunyai sifat ego yang ada dalam diri mereka.
Manakala sebab-sebab mereka tidak bersetuju bahasa lelaki dipercayai lebih kasar daripada wanita; tidak semua lelaki bersifat kasar kerana perempuan juga mempunyai sifat yang sebegitu. Walau bagaimanapun, 1% responden wanita tidak menjawab soalan tersebut dan 3% daripadanya menjawab lain-lain seperti pengaruh kawan, media massa dan elektronik, dan melihat dari segi cara penyampaian lelaki itu. Selain itu, 4% responden lelaki mengatakan kurang pasti akan perkara tersebut dan 1% responden lelaki tidak menjawabnya.
70 responden mengatakan lelaki perlu berbahasa lebih tegas dari wanita kerana lelaki dianggap sebagai seorang pemimpin terhadap wanita dan kanak-kanak sama ada dalam sesebuah keluarga, negara dan sebagainya.
Dalam soal kajiselidik mengenai pemilihan kata-kata bagi kebanyakan lelaki lebih berterus terang berbanding wanita, 36% responden lelaki bersetuju bahawa pemilihan kata-kata bagi kebanyakan lelaki lebih berterus terang berbanding wanita. Manakala wanita hanya 33% sahaja bersetuju. Hanya 11% responden lelaki dan 17% responden wanita tidak bersetuju mengenainya. 1% responden lelaki tidak menjawab dan tidak pasti akan soalan tersebut.
Antara sebab-sebab responden lelaki dan wanita bersetuju adalah disebabkan oleh lelaki lebih berterus terang dan mempunyai sifat yang tegas. Sebab bagi sesetengah responden yang tidak bersetuju pula adalah disebabkan lelaki ada hak untuk merahsiakan sesuatu perkara bagi mengelakkan berlakunya perselisihan faham.
3.1.2 PENGGUNAAN BAHASA WANITA
70 orang responden yang terdiri daripada lelaki dan wanita rata-rata memberikan sebab-sebab yang hampir sama bagi persoalan kenapa perlu wanita berbahasa secara lembut. Sebanyak 4% daripada 35 orang responden lelaki mengatakan wanita berbahasa lembut disebabkan oleh sifat keibuan, manakala 10% mengatakan wanita mempunyai sifat lemah-lembut dan penyayang, dan 24% mengatakan wanita perlu berbahasa lembut bagi mencerminkan keperibadian mereka sebagai seorang wanita. Sebanyak 11% lagi mengatakan sebab-sebab lain iaitu wanita sebagai pendamai serta mempunyai emosi yang sensitif.
Berbanding dengan wanita, 9% mengatakan wanita mempunyai sifat keibuan, 21% mempunyai sifat lemah-lembut dan penyayang, dan 9% bagi mencerminkan keperibadian. 7% mengatakan lain-lain sebab seperti wanita selalu berfikir sebelum berkata-kata dan sebagainya. Walau bagaimanapun 3% tidak menjawab persoalan tersebut dan 1% tidak bersetuju bahawa wanita itu tidak semestinya berbahasa secara lembut.
 Pemilihan kata-kata bagi kebanyakan perempuan lebih kepada eufemisme berbanding lelaki, jelas kelihatan bahawa responden wanita lebih bersetuju mengatakan bahawa kebanyakan pemilihan kata-kata bagi kebanyakan perempuan lebih kepada eufemisme iaitu sebanyak 40% mengatakan ‘ya’ berbanding dengan responden lelaki iaitu hanya 29% bersetuju. 9% daripada responden wanita pula mengatakan ‘tidak’ dan 1% tidak menjawab soalan berkenaan. Bagi responden lelaki 19% tidak bersetuju, manakala 3% lagi tidak menjawab.
Ada beberapa sebab responden wanita bersetuju bahawa pemilihan kata-kata kebanyakan perempuan lebih kepada bersifat eufemisme. Salah satunya disebabkan wanita tidak suka berterus-terang dan bahasanya bersifat berbunga-bunga. Sebab lain lagi adalah untuk menjaga perasaan, hati dan maruah orang yang dilawan bicara serta mengelakkan daripada menyakiti perasaan orang lain. Bagi responden lelaki pula, rata-rata mengatakan bahawa wanita bersifat pemalu, lemah-lembut dan bersifat keibuan. Ada juga yang mengatakan untuk menjaga perasaan serta menunjukkan rasa hormat kepada kaum lelaki sama ada kepada ayah, suami dan sebagainya.
Sebab-sebab mengapa responden wanita dan lelaki tidak bersetuju mengenai hal di atas pula adalah disebabkan pada masa sekarang wanita lebih terdedah dengan dunia luar. Mereka ini dikatakan lebih berterus-terang sama ada ketika mengumpat, menegur, marah dan sebagainya.
3.2 INTONASI DALAM BERKOMUNIKASI
Intonasi dalam berkomunikasi ini dibahagikan kepada tiga intonasi iaitu lembut, tegas dan neutral. Bagi golongan lelaki apabila berkomunikasi dengan ibu-bapa, sebanyak 30% dalam kajian ini menyatakan mereka lebih suka menggunakan intonasi yang lembut. Alasan mereka kerana takut derhaka kepada ibu bapa malahan ianya adalah tuntutan syarat dalam agama. Ibu bapa juga merupakan insan yang mereka hormati disamping itu menjaga hati ibu-bapa kerana mereka yang menjaga dan mendidik kita. Dengan menggunakan intonasi lembut nampak lebih bersopan santun dan mengeratkan hubungan kekeluargaan dengan mengikat kasih sayang sesama mereka. Sementara itu, sebanyak 20% menggunakan intonasi neutral dengan ibu-bapa mereka supaya nampak lebih kelelakian dan nampak mesra, disamping itu mereka menghormati ibu bapa. Ada di kalangan mereka menyatakan ibu-bapa boleh dijadikan kawan. Sebaliknya, dalam kajian ini didapati golongan lelaki tidak suka bercakap tegas dengan ibu bapa mereka.
Analisis ini menunjukkan majoriti daripada golongan lelaki bercakap lembut dengan ibu bapa mereka. Dengan berkomunikasi lemah lembut adalah cara menjaga perasaan ibu bapa. Suara hendaklah direndahkan dan jangan membantah permintaan mereka. Ini diakui setiap anak wajib berbakti dan mentaati ibu bapa demi membahagiakan kehidupan mereka melalui fasa hari tua sebagaimana Islam meletakkan ibu bapa pada kedudukan mulia.
Apabila lelaki berkomunikasi dengan adik-beradik, sebanyak 10% menggunakan intonasi lembut. Bagi mereka, adalah dimestikan juga bercakap lembut kerana ianya adalah darah daging sendiri dan juga demi menjaga hati masing-masing. Manakala sebanyak 17% menggunakan intonasi tegas kepada adik-beradik mereka. Menurut mereka ketegasan ini adalah demi disiplin untuk mengajar dan mendidik supaya dapat hormat. Disamping itu menunjukkan kejujuran masing-masing. Sehubungan dengan itu, sebanyak 27% menggunakan intonasi neutral kepada adik-beradiknya untuk mengeratkan hubungan kekeluargaan supaya tidak terjadinya pergaduhan. Intonasi ini pula sudah menjadi kebiasaan agar mesra dengan adik-beradik.
Dalam perhubungan kekeluargaan, sikap yang terbuka menghendaki supaya individu itu mengamalkan komunikasi yang jujur. Maksudnya, apa yang ada dalam fikiran dan hati kita, itulah yang seharusnya diucapkan secara telus. Kalau dalam hati kita tidak setuju dengan sesuatu perkara itu maka itulah yang harus diucapkan.  Kalau dalam hati menyatakan tidak setuju dengan sesuatu perkara itu maka itulah yang harus diucapkan. (Asiah Bt Ali et. al, 2008: 86). Dengan sikap yang terbuka ini mengelakkan perselisihan faham dalam keluarga dan hubungan yang rapat punca kepada kebahagiaan dan kesejahteraan dalam hidup keluarga.
Sehubungan dengan itu, komunikasi  antara lelaki dengan kawan lelaki sebanyak 17% daripada mereka menggunakan intonasi yang tegas agar nampak ciri-ciri kelelakian dan mengelakkan daripada mereka bercakap lucah. Manakala sebanyak 33% menggunakan intonasi neutral dengan kawan lelaki kerana bagi mereka ia hanyalah komunikasi yang baiasa sahaja dan nampak lebih mesra. Bagi mereka, lelaki lebih bersifat terbuka dan jarang terjadi pergaduhan. Dalam pergaulan ini didapati lelaki tidak suka bercakap lembut dengan kawan lelaki.
Dalam perhubungan sesama lelaki, mereka selalunya jarang bercakap tentang hubungan peribadi, mereka lebih senang jika bercakap tentang hal lelaki seperti main bola, kereta sport dan sebagainya. Oleh sebab itu, lelaki lebih suka menggunakan intonasi yang neutral mengikut suasana topik perbicaraan mereka yang sedang berlangsung.
Sebaliknya penggunaan intonasi lelaki dengan kawan perempuan pula sebanyak 14% daripada mereka menggunakan intonasi lembut kerana wanita makhluk yang sensitif oleh itu perlulah bercakap dengan lembut jika orang bercakap dengan lembut. Di samping itu dengan kelembutan akan menunjukkan ciri-ciri kejujuran tetapi tidak boleh bercakap terlalu terbuka dengan perempuan. Dengan intonasi ini juga akan mengeratkan silaturrahim agar tidak dikatakan biadap dan sombong. Manakala sebanyak 36% lelaki menggunakan intonasi neutral kepada kawan perempuan. Alasan mereka adalah kerana rakan sebaya-sekerja dan menjadi kebiasaan supaya orang suka berkawan. Dalam hal ini dapat dilihat lelaki tidak suka bercakap tegas dengan kaum hawa.
Dengan berintonasi neutral, lelaki dapat menunjukkan sifat diri mereka yang sebenar. Sebanding dengan itu, lelaki dilahirkan dengan naluri untuk keluar dan menguasai dunianya menunjukkan kebolehan, bekerja melaksanakan tanggungjawab dan mencapai yang terbaik (Sharifah Hassan, 2007). Lelaki lebih cenderung menunjukkan kebolehan mereka dalam berkomunikasi dan penampilan terhadap wanita.
Seterusnya penggunaan intonasi lelaki terhadap pasangan mereka. Sebanyak 23% daripada lelaki menggunakan intonasi lembut terhadap pasangan mereka untuk mengambil hati, berkasih sayang dan mengeratkan perhubungan. Hanya segelintir sahaja iaitu sebanyak 3% menggunakan intonasi yang tegas dengan pasangannya kerana supaya tidak naik kepala dan bersifat kurang ajar. Majoritinya sebanyak 24% orang lelaki suka menggunakan intonasi neutral kepada pasangan mereka kerana itu sudah menjadi kebiasaan dalam mengenal satu sama lain demi kejujuran.
Dalam analisis ini majoriti lelaki bersifat neutral kerana sifat lelaki yang selalu tenang dan tidak selalu tergopoh-gapah dalam membuat keputusan seperti wanita. Sebagaimana Firman Allah di dalam Al-Quran bermaksud: "Kaum lelaki adalah pemimpin kaum wanita". Ayat ini jelas menunjukkan kepada kita bahawa kepimpinan adalah diterajui oleh kaum lelaki manakala kaum perempuan adalah golongan yang dipimpin. Inilah fitrah atau sunnatullah yang berkuatkuasa dalam kehidupan manusia di dunia ini sepanjang zaman (Zuhadisaarani,t.th).  

Selanjutnya adalah perbincangan mengenai intonasi komunikasi wanita dengan ibu-bapa. Sebanyak 34% daripada wanita menggunakan intonasi lembut ketika berkomunikasi dengan ibu-bapa. Bagi mereka, ini menunjukkan rasa hormat kepada ibu-bapa kerana mereka memelihara kita dari kecil. Malahan ianya adalah satu kewajiban bagi anak-anak untuk menjaga hati ibu-bapa mereka sendiri. Sementara itu sebanyak 16% wanita menggunakan intonasi neutral kepada ibu-bapa mereka kerana bagi mereka tidak perlu hipokrit dan jadilah diri sendiri. Disamping itu bagi mereka dengan berintonasi neutral menghasilkan komunikasi yang lebih teratur. Dalam kajian ini didapati golongan wanita tidak ada yang menggunakan intonasi tegas kepada ibu-bapa.
Dalam analisis di atas, majoriti wanita menggunakan intonasi yang lembut. Seorang anak dilarang bercakap dengan menggunakan intonasi yang tegas dengan ibu bapa.  Lebih baik berdiam diri daripada berkata-kata yang mungkin menyinggung perasaan ibu bapa. Kemudian jika ada kesempatan, gunakan cara yang lembut untuk menjelaskan keadaan sebenar (Rozelawati, t.th).
Firman Allah SWT:                                                                    
“Tuhanmu telah memerintahkan, supaya kamu tidak menyembah selain Allah, dan hendaklah berbuat santun terhadap kedua orang tua. Jika salah seorang telah lanjut usianya atau kedua-duanya telah tua, janganlah sekali-kali engkau berani berkata ‘cis’ terhadap mereka dan janganlah engkau suka menggertak mereka. Tetapi, berkatalah dengan sopan santun dan lemah lembut.”
(Surah al-Isra’, ayat 23)
Dalam komunikasi wanita dengan adik-beradik, hanya 1% yang memberikan respon menggunakan intonasi lembut. Bagi mereka, psikologi adik-beradik itu sendiri. Begitu juga dengan penggunaan intonasi tegas, hanya 1% sahaja yang memberikan respon kerana dengan ketegasan dapat mendidik adik-beradik. Manakala majoriti golongan wanita iaitu sebanyak 47% wanita akan menggunakan intonasi neutral kepada adik-beradik mereka kerana sudah menjadi kebiasaan kerana keakraban hubungan adik-beradik. Disamping itu tanda kasih kepada adik-beradik tambahan lagi menyerikan suasana dengan gurau senda bagi mengelakkan berlakunya perbalahan.
Dalam logik selalunya wanita lebih bersifat keibuan dan mementingkan keluarga. Semasa muda dan masih bekerja dan belum berumahtangga, wanita lebih suka menyara orang tua dan adik-beradik yang masih sekolah. Wanita sanggup berkorban demi kebahagiaan keluarganya.
Sehubungan dengan itu, komunikasi antara wanita dengan kawan lelaki hanya  1% sahaja yang menggunakan intonasi lembut. Menurutnya ini adalah untuk mewujudkan persefahaman yang baik. Sementara itu pula, hanya sebanyak 2% sahaja yang menggunakan intonasi yang tegas untuk berkomunikasi  untuk mengelakkan sesuatu yang tidak diingini akan berlaku. Manakala sebanyak 47% wanita menggunakan intonasi neutral apabila berkomunikasi dengan kawan lelaki. Bagi mereka untuk lebih santai dan relaks dan lebih sopan tetapi ikut keadaan. Disamping itu ianya adalah tanda hormat kepada kawan dan tidak perlu “control ayu” di depan lelaki.
Wanita lebih bersifat neutral apabila berkomunikasi dengan kawan lelaki, setentunya dalam bersopan santun terpancar dalam percakapan dan keolahan, dan timbullah kata-kata ‘usul menunjukkan asal’, sopan santun orang Brunei mengandungi unsur kehalusan budi yang bertatatertib dalam percakapan (P.J.L.P.R.D.S.U Dr. Ustaz hj Md Zain haji Serudin,1998:37). Dengan kesopanan dan neutral boleh mencerminkan sifat diri kita kerana warga Brunei terkenal dengan kesopanannya.
Dalam perhubungan wanita dengan kawan perempuan, sebanyak 6% wanita menggunakan intonasi lembut. Bagi wanita supaya bersefahaman dan menjaga hati teman-teman. Manakala sebanyak 44% orang wanita menggunakan intonasi neutral dalam komunikasi. Kerana ianya sudah menjadi kebiasaan dan lumrah wanita yang mempunyai naluri kewanitaan. Disamping itu ianya lebih santai dan mengeratkan hubungan persahabatan seperti adik-beradik. Dalam kajian ini mendapati wanita tidak menggunakan intonasi yang tegas antara mereka.
Analisis ini mendedahkan bahawa komunikasi berbudi bahasa diamalkan dalam kalangan orang Asia. Orang Melayu berbudi dan berbahasa adalah sangat penting. Ini ditujukkan menerusi kesan kepada cara komunikasi. Contohnya nilai bekerjasama umpamanya berat sama dipikul, ringan sama dijinjing. Nilai menjaga harmoni umpamanya bersatu kita teguh, bercerai kita roboh.
Dalam komunikasi berpasangan, sebanyak 16% orang wanita menggunakan  intonasi yang lembut. Menurut mereka dengan berintonasi lembut mereka akan dihormati dan disayangi suami disamping mewujudkan keromantisan dan kemanisan dalam rumah tangga serta menjadi tanda kasih dan sayang. Dengan kesopanan dan menjaga hati pasangan akan mengeratkan lagi perhubungan dalam berpasangan. Sebaliknya, sebanyak 4% wanita menggunakan intonasi tegas. Bagi mereka supaya pasangan bercakap jujur dan tidak berselisihan faham serta serius dalam perhubungan. Sementara itu sebanyak 29% wanita menggunakan intonasi neutral dalam komunikasi berpasangan supaya mereka dapat menjadi diri sendiri disamping dapat menunjukkan sifat diri sendiri. Dengan neutral, wanita boleh bertolak ansur dan hubungan itu boleh dianggap seperti kawan tetapi bergantung kepada keadaan.
Majoriti daripada wanita ini selalu menggunakan intonasi neutral kerana dalam perhubungan wanita harus berfikiran kreatif untuk menjayakan hubungan mengikut situasi yang tertentu.
3.3  BAHASA DAN BUDAYA
Berkaitan dengan bahasa dan budaya, juga ditanyakan tentang apakah menjadi taboo sekiranya lelaki berbahasa  secara lembut dan perempuan berbahasa secara kasar. Peratus yang diperolehi adalah 79% kaum lelaki mengatakan 'tidak' menjadi taboo jika keadaan seperti yang dinyatakan itu terjadi, manakala 21% dari mereka mengatakan perkara tersebut adalah taboo. Pelbagai alasan yang diberikan oleh mereka tentang mengapa perkara itu menjadi taboo dan mengapa tidak. Berikut adalah alasan yang diberikan bagi kerana apa perkara di atas itu tidak menjadi taboo, antaranya adalah berbahasa seperti perkara yang dinyatakan tersebut mestilah mengikut konteks tempat dan situasi dijawab oleh 44% kaum lelaki, seramai 15% mengatakan ia tergantung kepada sifat individu itu, 11% mengatakan bahawa jika berbahasa lembut itu menandakan seseorang itu berbudi, sejumlah 7% memberikan alasan bahawa sekarang masyarakat lebih terbuka dan 4% menyatakan perkara tersebut dibolehkan asalkan akidah tidak menyeleweng. Dan 10% tidak menjawab soalan.
Alasan kaum lelaki yang mengatakan mengapa ia menjadi taboo adalah seperti berikut; lelaki tidak boleh menyerupai perempuan menurut agama Islam adalah alasan dari 14% kaum lelaki, antara yang lain seramai 57% mengatakan sifat lelaki harus dibezakan dengan sifat perempuan, dan seramai 29% memberikan alasan kerana ia adalah satu gambaran buruk kepada masyarakat.
Manakala bagi perempuan pula seramai 83% dari mereka mengatakan 'tidak', namun 17% dari mereka mengatakan 'ya' jika lelaki berbahasa secara lembut dan perempuan berbahasa secara tegas itu adalah taboo. Alasan mengapa kaum perempuan mengatakan tidak adalah kerana berbahasa itu mengikut konteks tempat dan sekeliling adalah seramai 48, manakala 30% mengatakan ia bergantung kepada sifat individu itu, 10% mengatakan hal itu tidak menjadi masalah dan 2% mengatakan kerana zaman sekarang lebih terbuka. 10% tidak memberikan sebarang alasan. Bagi kaum perempuan yang mengatakan perkara itu adalah taboo seratus peratus memberikan alasan bahawa sifat lelaki harus dibezakan dengan sifat perempuan.
Kaum perempuan lebih ramai mengatakan lelaki berbahasa lembut dan perempuan berbahasa dengan tegas itu tidak menjadi taboo. Ini kerana kebanyakan dari responden percaya  berbahasa itu perlu mengikut konteks atau latar belakang peristiwa sewaktu kita berbahasa, selain itu responden juga mengatakan bagaimana seseorang berbahasa itu tertakluk kepada sifat individu dan budi bicaranya. Daripada analisa di atas lelaki yang paling banyak bersetuju jika perkara tersebut adalah taboo, walaupun jumlah keseluruhan di antara gender yang bersetuju ini adalah berjumlah minimal. Antara alasan yang paling banyak diberikan adalah, sifat lelaki harus dibezakan dengan sifat perempuan maka begitu juga dalam berbahasa. Selain itu ia menjadi taboo kerana ia dianggap satu perilaku yang kurang elok dalam masyarakat. Didapati lelaki menjadikan pandangan masyarakat dan aturan agama sebagai landasan mengapa perkara itu bersifat taboo, manakala perempuan menjadikan alasan norma dan nilai sosial sebagai landasan untuk mengatakan hal sedemikian sebagai taboo.
Analisa di atas memperlihatkan bahawa kebanyakan responden melakukan  pertukaran sifat khususnya dalam intonasi mengikut kesesuaian persekitaran dan suasana terutama bagi responden perempuan. Menurut Thorne .B, Kramarae.c, dan Henley N(1983:83) penyesuaian intonasi dalam pertuturan bagi kedua gender juga berdasarkan konteks persekitaran.
3.4   GENDER DAN PENGETAHUAN TENTANG MAKNA KONOTASI
Makna konotasi mempunyai makna yang berlainan dengan makna harafiahnya (Jalaludin chuchu (2010:56-57), sebagai contoh perkataan berhati hitam, secara harafiahnya ia menyatakan tentang keadaan satu makhluk yang mempunyai hati berwarna hitam, manakala secara konotasinya ia melambangkan seorang yang bersifat jahat, kenapa wujudnya perkataan-perkataan yang mempunyai makna konotasi, ini kerana untuk memperhalusi kata yang bersifat agak kasar apabila dicakapkan secara harafiahnya, bagi mengelakkan individu tertentu berasa tersinggung, ia juga digunakan untuk menyindir dan memberikan kesan ambiguiti kepada individu yang ditujukan.
Dalam kajian ini disediakan soalan yang menguji pengetahuan makna konotasi bagi beberapa perkataan, makna konotasi ini bergantung kepada responden untuk  menentukannya. Oleh itu, ia berbagai jawapan diberikan mengikut pengetahuan responden, makna konotasi ini sama ada ia menggambarkan perasaan dan penilaian  responden terhadap perkataan tersebut, jawapan akan dinilai dengan cara berikut mana-mana makna yang diberikan yang sudah dikira peratusnya  itu bernilai konotatif maka  dikategorikan di dalam makna konotasi manakala jika makna yang diberikan kepada perkataan tersebut adalah makna denotatif  ia akan disenaraikan dalam makna denotasi.
Contoh Metod kiraan
Perkataan  1 -  jumlah keseluruhan kata konotatif 10%
Perkataan  2 - jumlah keseluruhan kata konotatif 20%
10% + 20%  Jumlah = 30 point
Antara perkataan yang digunakan dalam pengujian ini adalah seperti berikut, iaitu betina wanita perempuan gadis, jantan, lelaki, buaya, dan teruna. Responden hanya perlu menjawab makna bagi perkataan tersebut. Jika jawapan responden lebih menjurus kepada nilai-nilai disebalik perkataan tersebut atau bukan makna harafiahnya maka ia disenaraikan dalam jawapan konotasi. Manakala jika jawapan yang diberikan adalah makna harafiah perkataan tersebut ia dikategorikan sebagai jawapan denotasi. Sebagai contoh seperti berikut: betina– perempuan bermoral rendah (jawapan konotasi), betina - merujuk kepada jantina haiwan (jawapan denotasi).
Hasil dari kiraan didapati jumlah untuk kata yang dijawap dengan nilai denotatif bagi responden lelaki adalah 343 point, manakala perkataan yang dijawap dengan nilai konotatif adalah 392 point. Point bagi jawapan responden perempuan yang  bernilai denotatif adalah berjumlah 329 point dan  perkataan yang dijawap dengan nilai konotatif berjumlah 434 point. Jika diperhatikan jawapan bernilai denotatif bagi responden lelaki lebih tinggi berbanding responden perempuan, sebaliknya jawapan yang bernilai konotatif perempuan lebih tinggi berbanding responden lelaki.
Analisis ini menunjukkan berkemungkinan responden perempuan lebih banyak menggunakan perkataan yang bersifat eufemisme memandangkan responden perempuan lebih cenderung menuliskan nilai perkataan yang diberikan dalam kategori makna konotatif, dan kemungkinan besar responden lelaki lebih cenderung untuk menggunakan perkataan yang transparen atau berterus terang kerana lelaki lebih banyak menuliskan nilai perkataan yang diberikan dalam kategori makna denotatif. Ini bermakna lelaki lebih menerapkan nilai praktikal dan realistik daripada perempuan, sesuai dengan pendapat Barnard (2004), lelaki lebih terdedah kepada penemuan dan pengembaraan, sains, kejuruteraan, dengan itu lelaki lebih realistik.
3.5 PERASAAN KEDUA BELAH GENDER MENENTUKAN PERILAKU BAHASA
Untuk mengetahui dengan lebih mendalam lagi mengapa bahasa yang digunakan lelaki dan perempuan agak berbeza, perasaan empati  kedua gender diuji lagi dengan beberapa soalan, soalan yang diajukan adalah seperti berikut iaitu, bagaimanakah cara awda menyambut hari istimewa dengan pasangan? 48% responden lelaki membawa pasangan mereka makan di luar, 14% tidak memberikan sebarang komen, 11% menghabiskan masa dengan perbualan berkualiti, 9% membawa pasangan untuk membeli belah, 5% mengucapkan selamat mengikut tema sambutan, bagi yang merahsiakan aktiviti, tidak menyambut hari tersebut dan bagi yang memberikan hadiah masing-masing 3%.
Manakala responden perempuan seramai 57% makan di luar bersama pasangan, 22% menghabiskan masa dengan perbualan berkualiti, ucapan kata-kata istimewa diucapkan oleh 5% dari mereka dan hanya 2% yang memberikan hadiah.
Jumlah responden perempuan lebih ramai yang mengakui menyambut hari istimewa dengan makan di luar bersama pasangan. Jumlah bagi yang meluangkan masa dengan perbualan berkualiti berjumlah dua kali ganda dari responden lelaki, tiada dari kalangan responden perempuan yang tidak menyambut hari istimewa dengan pasangan mereka tetapi di kalangan respondan lelaki ada yang tidak menyambut hari tersebut.
Seterusnya untuk soalan bagaimana awda mengungkapkan rasa cinta kepada pasangan? 51% dari responden lelaki tidak mengungkapkan rasa cinta mereka secara verbal tetapi lebih menzahirkannya dengan perbuatan dan sikap, 17% mengatakan aku cinta kamu, dengan jumlah yang sama juga mengungkapkan kata-kata bersifat romantis, 9% dari responden lelaki tidak memberikan sebarang komen, akhirnya  bagi yang bergurau senda dan merahsiakan cara mengungkapkan rasa cinta masing-masing berjumlah 3%.
Berlainan dengan responden perempuan sejumlah 57% mengungkapkan ‘aku cinta kamu’ kepada pasangannya, hanya 29% yang menzahirkan rasa sayang dengan perbuatan, bagi yang melafazkan kata-kata indah berjumlah 9% dan 5% dari mereka tidak memberikan komen.
Didapati lebih dari separuh responden perempuan mengungkapkan rasa cinta mereka kepada pasangan secara verbal, bercanggahan dengan responden lelaki lebih dari separuh jumlah mereka mengungkapkan rasa cinta mereka hanya dengan perbuatan dan sikap.
Jawapan bagi soalan Sekerap mana awda meluahkan rasa sayang awda terhadap pasangan?’ juga memperlihatkan perbezaan yang ketara, 54% respondan lelaki hanya kadang-kadang meluahkan rasa sayang mereka kepada pasangan, lebih dari suku dari mereka (26%) mengatakan mereka selalu menyatakan sayang kepada pasangannya, dan hanya 17% yang mengatakan mereka jarang melakukannya. Selebihnya tidak memberikan sebarang komen.
Manakala pihak responden perempuan berjumlah 52% dari mereka selalu mengatakannya, yang lain seramai 34% menyatakannya kadang-kadang dan hanya 14% jarang meluahkan perasaan mereka.
Jika dibandingkan jumlah responden perempuan yang mengatakan sayang dengan selalu kepada pasangan mereka lebih separuh dari jumlah responden lelaki mengatakan sayang kepada pasangan meraka, lebih dari separuh responden lelaki hanya kadang-kadang menyatakan sayang mereka kepada pasangan masing-masing.
Beralih kepada soalan ‘reaksi awda  dari segi ucapan apabila pasangan awda mengatakan 'aku cinta kamu', lebih separuh (54%) responden lelaki mengatakan ‘aku cinta kamu juga’, kemudian sejumlah 37% dari mereka hanya tersenyum jika pasangannya mengatakan aku cinta kamu, hanya 8% yang terdiam malu sebagai reaksi dari kata-kata tersebut, bagi yang ketawa dan mengatakan ‘tenang saja’ masing-masing 3%, sejumlah 9% tidak memberikan sebarang komen.
Hampir separuh dari responden (46%) perempuan mengatakan ‘aku cinta kamu juga atau membalas balik jika pasangannya mengatakan ‘aku cinta kamu’, 23% bereaksi dengan senyum, manakala yang berasa terharu sejumlah 8%, masing-masing 3% yang bereaksi dengan mengatakan ‘sini saya cium, ‘o.m.g’, ’terima kasih' dan ‘relax saja sana’. Sejumlah 5% tidak memberikan sebarang komen.
Untuk soalan ini  responden  lelaki lebih ramai dari responden perempuan yang memberi reaksi  membalas balik dengan mengatakan ‘aku cinta kamu juga’, perbuatan  yang  kerap dilakukan  oleh responden dari kedua belah pihak gender sebagai reaksi adalah tersenyum, namun jumlah respondan lelaki lah yang masih dominan melakukan perlakuan ini.
Seterusnya bagi soalan “apabila pasangan awda mengatakan aku cinta kamu pernahkah awda tidak membalas ucapan tersebut?" 71% responden lelaki mengatakan 'ya' selebihnya 29% mengatakan 'tidak'. Manakala responden perempuan pula sejumlah 66% mengatakan 'ya' selebihnya 34% mengatakan 'tidak'.    
Perkara yang dilakukan jika tidak membalas ucapan aku cinta kamu dari pasangan, bagi responden lelaki majoriti (64%) mereka mengatakan mereka hanya tersenyum jika tidak membalas ucapan pasangan mereka, 28% mengatakan mereka akan berdiam diri  masing-masing 4% yang mencium dahi pasangan dan yang mengubah topik perbualan. Responden perempuan pula melakukan hal yang sama namun berbeza dari jumlah responden lelaki iaitu hanya tersenyum dilakukan oleh sejumlah 52% dari mereka, 22% dari mereka hanya berdiam diri, bagi yang mengubah topik perbualan dan  yang tidak memberi sebarang komen masing-masing berjumlah 13%.
Peratus lelaki lebih banyak yang tidak membalas ucapan cinta pasangannya, majoriti hanya tersenyum jika ditujukan ucapan tersebut, dan jumlah mereka yang berdiam diri juga lebih tinggi dari jumlah responden perempuan.
Berdasarkan analisa  yang telah dibuat membuktikan responden perempuan mempunyai nilai simpati yang lebih tinggi dari responden lelaki, buktinya responden perempuan lebih mempunyai kecenderungan untuk menzahirkan suasana romantis, harmoni dan menyayangi berbanding lelaki, oleh itu boleh diasumsikan  perempuan secara umumnya mengelak konflik, masalah, dan pertengkaran, melalui sifat-sifat yang penuh simpati tadi,  untuk mengelak konflik terutama semasa berbahasa pemilihan kata yang sesuai dan tidak menyinggung mungkin menjadi keutamaan seorang perempuan, oleh ituah bahasa seorang perempuan lebih lembut dan banyak menekankan nilai eufemisme.
  4.0 KESIMPULAN
Secara keseluruhannya, rata-rata para responden mengatakan gender memberi pengaruh terhadap penggunaan bahasa. Berbagai-bagai alasan diketegahkan untuk menerangkan perbezaan bahasa antara kaum lelaki dengan kaum wanita. Daripada kajian yang telah dilakukan rata-rata para responden mengatakan bahasa kaum lelaki itu lebih kasar daripada wanita. Malah golongan wanita lebih banyak menggunakan kata-kata eufemisma, sopan dan lembut. Perkara ini jelas dapat dilihat terutama sekali dari sudut penggunaan intonasi yang digunakan ketika berkomunikasi. Walau bagaimanapun, penggunaan intonasi dalam berbahasa di antara kedua-dua gender ini bergantung kepada faktor situasi.Diasumsikan  perempuan secara umumnya mengelak konflik, masalah, dan pertengkaran,melalui  sifat-sifat yang penuh simpati. Untuk mengelak konflik semasa berbahasa pemilihan kata-kata yang sesuai dan tidak menyinggung mungkin menjadi keutamaan bagi seorang wanita oleh itu bahasa yang dipilih wanita lebih berciri eufemistik dari lelaki.




Rujukan:


Abdul Rashid Daing Melebek & Amat Juhari Moain. (2010). Sosiolinguistik dan Bahasa
Melayu. Selangor: Universiti Kebangsaan Malaysia.

Barnard.A.(2004). Sociology. London: Cambridge University Press.

Teo Kok Seong. (2000). Sosiolinguistik. Selangor: Universiti Kebangsaan Malaysia.

Tiger.l and Fox.R.(1972). The imperial animal. London: Seeker and Warburg.









No comments:

Post a Comment